Friday, September 30, 2016

Sikap Sombong Perlu Dijauhi Semua Pelajar


Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat untuk pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan PT3 dan SPM tahun 2016 telah diadakan dengan jayanya pada 29 September 2016.

Sebagai pengisian majlis Ustaz Yazid bin Haji Rajali telah menyampaikan tazkirah untuk pelajar dan ibubapa yang terlibat. Dalam tazkirah beliau, beberapa pengajaran boleh kita perolehi termasuk:-

  1. Kehidupan kita merupakan suatu proses. Oleh itu kita perlulah melalui semua peringkat dalam proses kehidupan ini dengan tabah dan redha. Contohnya bijih emas pada asalnya kurang bernilai. Selepas melalui proses pembakaran dengan api yang sangat panas serta dibentuk menjadi barang hiasan maka nilainya akan meningkat. Begitulah juga kehidupan kita yang perlu melalui pelbagai peringkat yang mencabar. Rasulullah SAW telah mengalami pelbagai peringkat iaitu menjadi anak yatim semenjak kecil, kewafatan isteri dan ayah saudara semasa berdakwah di Mekah, dihalau penduduk Taif dan banyak lagi. Rasulullah menjadi manusia paling mulia di sisi Allah SWT dengan kesabaran serta ketabahan baginda melalui proses kehidupan. Maka pelajar juga perlu melalui proses belajar dan peperiksaan sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka. Jika ingin berjaya dalam hidup pelajar mestilah belajar dengan tabah dan sabar. Selepas berjaya dalam peperiksaan maka nilai diri seseorang pelajar akan meningkat. Mereka juga akan menjadi aset kepada keluarga serta negara bagi mencapai kemajuan yang lebih pesat.
  2. Sifat sombong mestilah dijauhi. Cerita iblis yang banyak beribadat dan berilmu tetapi menderhaka kepada Allah SWT hanya kerana sifat sombongnya. Disebabkab kesombongannya iblis telah mengingkari perintah Allah SWT dan telah dihalau daripada syurga. Oleh itu, walaupun pelajar sudah mampu menguasai ilmu pengetahuan dan berjaya dalam peperiksaan dia mestilah tidak angkuh dan sombong. Jika sikap angkuh dan sombong menguasai diri nescaya kejayaan dalam bidang kehidupan yang lain akan sukar dicapai. Sikap sombong ini sangat buruk khususnya semasa pelajar sedang menuntut ilmu. Jika mereka sombong dengan cikgu maka keberkatan ilmu yang diajar oleh cikgu akan hilang. Selain daripada itu sifat sombong akan menjadi penghadang kepada komunikasi diantara pelajar dengan cikgu sehingga boleh menjejaskan proses pembelajaran.
Pengetua menyampaikan cenderahati kepada Ustaz Yazid Haji Rajali.

Pengetua Tuan Haji Ibrahim bin Jamain telah merakamkan rasa penghargaan dan terima kasih beliau kepada semua yang hadir. Beliau turut berterima kasih dengan kehadiran YDP PIBG Encik Hallman bin Sabri. Antara intisari ucapan beliau ialah:-
  1. Ilmu pengetahuan adalah sumber kuasa (knowledge is power). Penguasaan ilmu pengetahuan amat penting bagi mencapai kejayaan kita dalam kehidupan. Singapura adalah contoh negara yang tidak mempunyai banyak sumber asli serta jumlah penduduk yang sedikit tetapi berjaya mencapai kemajuan yang lebih tinggi berbanding negara-negara lain di Asia Tenggara. Kejayaan Singapura ini adalah hasil daripada penguasaan ilmu pengetahuan dalam pelbagai oleh penduduknya.
  2. Kolej Abdillah boleh mencapai status sekolah berprestasi tinggi. Salah satu kriteria penting adalah pencapaian dalam peperiksaan awam. Setakat ini kohort SPM dan PT3 tahun ini telah mencapai keputusan ujian penilaian terbaik. Jika momentum ini dapat kita kekalkan insyaAllah hasrat murni kita semua akan dapat dicapai. Oleh itu kerjasama ibubapa sangat penting dalam memberikan sokongan yang berterusan kepada anak masing-masing.
  3. Ibubapa juga perlu memastikan anak-anak mereka istiqamah mendirikan solat 5 waktu. Solay pada awal waktu terutamanya waktu subuh. Selepas solat subuh anak-anak bolehlah mengulangkaji pelajaran mereka kerana waktu awal pagi ini sangat berkesan untuk belajar.
Seramai kira-kira 300 orang pelajar, ibubapa dan guru telah menghadiri majlis berkenaan.

Tuesday, September 20, 2016

Batasan Kuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah

PIBG tidak dibenarkan untuk mencampuri urusan pentadbiran sekolah, pekerjaan serta ayarat-syarat perkhidmatan semua kakitangan sekolah termasuk guru. Selain itu ianya juga tidak boleh dijadikan jentera untuk menyelesaikan pertikaian ataupun halh-hal lian yang berkaitan antara persatuan dengan gurubesar atau pengetua atau kakitangan lain sekolah atau Pejabat Pendidikan Bahagian atau Pejabat Pendidikan Negeri atau Kerajaan Negeri atau Keraajaan Persekutuan.

Semua PIBG hendaklah fokus kepada tujuan utama penubuhannya iaitu untuk mewujudkan pemuafakatan antara guru-guru dengan ibu bapa di sekolah masing-masing.

Pekeliling berkenaan isu ini boleh dibaca disini.

Sunday, September 18, 2016

5th Toastmasters Youth Leadership & Communication Development Camp


Tarikh 16-18 September 2016 telah memberikan pelajaran dan kemahiran yang amat penting kepada sekumpulan pelajar yang telah berkampung di Kem PLKN Juara, Serian, Sarawak. Kolej DPAH Abdillah telah diwakili oleh 10 orang Permata dan salah seorang daripadanya adalah Aeisha Danella Lemi Gordon yang telah menyertai acara ucapan tersedia (prepared speech contest).


Kem anjuran Kelab Toastmasters Kuching tersebut memberikan bimbingan dalam teknik serta kemahiran pengucapan awam. Acara utama melibatkan pertandingan membuat ucapan tersedia dan juga spontan (inpromptu). Para pelajar telah dibahagikan kepada 10 kumpulan dan Aeisha telah menyertai acara ucapan tersedia.

Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan 2016


Pada 9 September 2016 yang lepas telah diadakan Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan di Kolej DPAH Abdillah. Majlis telah bermula seawal jam 7:10 pagi dengan kehadiran murid-murid dan para guru. 

Tuan Yang DiPertua PIBG Kolej DPAH Abdillah, Encik Hallman Sabri telah berkenan merasmikan majlis berkenaan. Dalam ucapan perasmiannya beliau telah menyentuh beberapa perkara berikut:
  1. Kemerdekaan yang kita kecapi kini adalah hasil perjuangan dan usaha gigih para pejuang negara yeng terdahulu. Para pelajar disarankan untuk mempelajari mengenai pengorbanan mereka agar mereka dapat memahami erti sebenar kemerdekaan. Selain daripada itu mereka juga akan dapat menghargai jasa para pejuang kemerdekaan ini dengan memastikan negara Malaysia yang kita cintai ini akan terus aman dan makmur tanpa gangguan musuh.
  2. Dalam menterjemahkan nikmat kemerdekaan, para pelajar mestilah memanfaatkan segala kemajuan dan kemudahan yang telah dibangunkan hasil kemerdekaan selama ini. Prasarana pendidikan seperti Kolej DPAH Abdillah ini adalah contoh pencapaian kita selepas merdeka. Maka para pelajar diseru agar fokus terhadap tugas utama mereka untuk menimba ilmu pengetahuan sebaik mungkin. Melalui penguasaan ilmu pengetahuan ini nanti mereka akan dapat menyumbang secara berkesan kepada usaha mempertahankan kemerdekaan serta memakmurkan negara Malaysia yang kita semua cintai ini.
  3. Selain daripada itu para pelajar juga haruslah menjauhi gejala-gejala negatif seperti dadah, lumba haram, samseng, buli dan lain-lain. Mereka haruslah mengamalkan budaya hidup sihat yang seimbang demi pembangunan fizikal, rohani, emosi dan intelektual masing-masing. 
Majlis berkenaan turut diserikan dengan penyampaian hadiah-hadiah pertandingan Sajak Kemerdekaan, Lagu Patriotik dan Pakaian Beragam (tema Sehati Sejiwa).

Wednesday, September 7, 2016

Pengenalan kepada PIBG

Seksyen 130(2)(i) Akta Pendidikan 1996 menetapkan agar semua sekolah menubuhkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Peruntukan ini adalah berdasarkan kepada saranan dalam Laporan Azizi yang telah diumumkan pada tahun 1971.

Oleh itu, Kolej DPAH Abdillah juga telah menubuhkan persatuan yang sama bagi memenuhi tuntutan perundangan ini.

Perlembagaan PIBG adalah seperti berikut http://www.moe.gov.my/upload/galeri_awam/pekeliling/1259031638.pdf

Hallman bin Sabri

AMANAT YANG DIPERTUA


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Blog ini dibangunkan bagi memudahkan kita berkongsi maklumat dengan semua ahli. Selain daripada itu, tuan-tuan dan puan-puan juga boleh menghantar komen ataupun cadangan kepada kami melalui blog ini.

Melalui komunikasi yang aktif sesama kita, saya berharap agar persefahaman dalam kalangan ibubapa dan guru-guru juga akan bertambah baik. Ini secara tidak langsung akan memudahkan kita menjalankan program-program demi kecemerlangan anak-anak kita yang sedang belajar di Kolej Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah.

Besarlah harapan saya agar kemudahan ini digunakan dengan sebaiknya demi kemaslahatan semua.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Hallman bin Sabri
Yang DiPertua
Persatuan Ibubapa dan Guru
Kolej Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah