Friday, September 30, 2016

Sikap Sombong Perlu Dijauhi Semua Pelajar


Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat untuk pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan PT3 dan SPM tahun 2016 telah diadakan dengan jayanya pada 29 September 2016.

Sebagai pengisian majlis Ustaz Yazid bin Haji Rajali telah menyampaikan tazkirah untuk pelajar dan ibubapa yang terlibat. Dalam tazkirah beliau, beberapa pengajaran boleh kita perolehi termasuk:-

  1. Kehidupan kita merupakan suatu proses. Oleh itu kita perlulah melalui semua peringkat dalam proses kehidupan ini dengan tabah dan redha. Contohnya bijih emas pada asalnya kurang bernilai. Selepas melalui proses pembakaran dengan api yang sangat panas serta dibentuk menjadi barang hiasan maka nilainya akan meningkat. Begitulah juga kehidupan kita yang perlu melalui pelbagai peringkat yang mencabar. Rasulullah SAW telah mengalami pelbagai peringkat iaitu menjadi anak yatim semenjak kecil, kewafatan isteri dan ayah saudara semasa berdakwah di Mekah, dihalau penduduk Taif dan banyak lagi. Rasulullah menjadi manusia paling mulia di sisi Allah SWT dengan kesabaran serta ketabahan baginda melalui proses kehidupan. Maka pelajar juga perlu melalui proses belajar dan peperiksaan sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka. Jika ingin berjaya dalam hidup pelajar mestilah belajar dengan tabah dan sabar. Selepas berjaya dalam peperiksaan maka nilai diri seseorang pelajar akan meningkat. Mereka juga akan menjadi aset kepada keluarga serta negara bagi mencapai kemajuan yang lebih pesat.
  2. Sifat sombong mestilah dijauhi. Cerita iblis yang banyak beribadat dan berilmu tetapi menderhaka kepada Allah SWT hanya kerana sifat sombongnya. Disebabkab kesombongannya iblis telah mengingkari perintah Allah SWT dan telah dihalau daripada syurga. Oleh itu, walaupun pelajar sudah mampu menguasai ilmu pengetahuan dan berjaya dalam peperiksaan dia mestilah tidak angkuh dan sombong. Jika sikap angkuh dan sombong menguasai diri nescaya kejayaan dalam bidang kehidupan yang lain akan sukar dicapai. Sikap sombong ini sangat buruk khususnya semasa pelajar sedang menuntut ilmu. Jika mereka sombong dengan cikgu maka keberkatan ilmu yang diajar oleh cikgu akan hilang. Selain daripada itu sifat sombong akan menjadi penghadang kepada komunikasi diantara pelajar dengan cikgu sehingga boleh menjejaskan proses pembelajaran.
Pengetua menyampaikan cenderahati kepada Ustaz Yazid Haji Rajali.

Pengetua Tuan Haji Ibrahim bin Jamain telah merakamkan rasa penghargaan dan terima kasih beliau kepada semua yang hadir. Beliau turut berterima kasih dengan kehadiran YDP PIBG Encik Hallman bin Sabri. Antara intisari ucapan beliau ialah:-
  1. Ilmu pengetahuan adalah sumber kuasa (knowledge is power). Penguasaan ilmu pengetahuan amat penting bagi mencapai kejayaan kita dalam kehidupan. Singapura adalah contoh negara yang tidak mempunyai banyak sumber asli serta jumlah penduduk yang sedikit tetapi berjaya mencapai kemajuan yang lebih tinggi berbanding negara-negara lain di Asia Tenggara. Kejayaan Singapura ini adalah hasil daripada penguasaan ilmu pengetahuan dalam pelbagai oleh penduduknya.
  2. Kolej Abdillah boleh mencapai status sekolah berprestasi tinggi. Salah satu kriteria penting adalah pencapaian dalam peperiksaan awam. Setakat ini kohort SPM dan PT3 tahun ini telah mencapai keputusan ujian penilaian terbaik. Jika momentum ini dapat kita kekalkan insyaAllah hasrat murni kita semua akan dapat dicapai. Oleh itu kerjasama ibubapa sangat penting dalam memberikan sokongan yang berterusan kepada anak masing-masing.
  3. Ibubapa juga perlu memastikan anak-anak mereka istiqamah mendirikan solat 5 waktu. Solay pada awal waktu terutamanya waktu subuh. Selepas solat subuh anak-anak bolehlah mengulangkaji pelajaran mereka kerana waktu awal pagi ini sangat berkesan untuk belajar.
Seramai kira-kira 300 orang pelajar, ibubapa dan guru telah menghadiri majlis berkenaan.

No comments:

Post a Comment