Saturday, October 8, 2016

Majlis Restu Ilmu Permata PT3 dan SPM


Pada awal pagi 8 Oktober 2016 telah diadakan Majlis Restu penting Ilmu Permata PT3 dan SPM sebagai persediaan sebelum bermulanya peperiksaan masing-masing tidak lama lagi. Acara simbolik ini penting bagi menguatkan persediaan psikologi anak-anak Permata kita dalam perjuangan mereka menghadapi peperiksaan penting PT3 dan SPM.

Bacaan doa telah dipimpin oleh Ustaz Ali bin Mohamad, bapa kepada salah seorang anak Permata PT3. Selepas itu ucapan aluan telah disampaikan oleh Pengetua Tuan Haji Ibrahim bin Jamain dan beliau telah menyentuh beberapa perkara termasuk:

  1. Inisiatif pihak sekolah yang telah menganjurkan sesi motivasi dan pemuafakatan dan sebagainya bagi memastikan persediaan 100% anak-anak Permata.
  2. Besarlah harapan beliau agar ibubapa memberikan kerjasama sepenuhnya agar pencapaian keputusan cemerlang untuk anak-anak Permata akan berlaku tahun ini.
  3. Walaupun usaha mengulangkaji keseluruhan subjek tidak beberapa sesuai pada waktu yang sudah terlalu hampir dengan peperiksaan ini, anak-anak Permata perlu fokus kepada bahagian-bahagian yang masih kurang mereka kuasai untuk diperkukuhkan. Ibubapa bolehlah memberikan sokongan dan kerjasama kepada anak-anak masing-masing dalam hal ini.
  4. Walaupun sibuk membuat persediaan, ibubapa perlu juga memastikan perkara-perkara penting berikut:-
    1. Jangan belajar sehingga terlalu lewat malam sehingga mengurangkan waktu tidur. Kekurangan tidur boleh menjejaskan prestasi pelajar semasa peperiksaan sehingga menyebabkab mereka hilang ingatan terhadap apa yang telah mereka pelajari.
    2. Jaga pemakanan anak masing-masing supaya seimbang. Janganlah terlalu banyak makan ayam dan daging sahaja tetapi mestilah dipertingkatkan juga memakan sayur-sayuran. Ini akan menjamin keperluan zat untuk anak-anak kita serta membantu menjaga kesihatan mereka.
    3. Ibubapa hendaklah terus memberikan sokongan yang positif dan elakkan berleter terutama apabila keputusan sudah diumumkan. Anak-anak remaja ini memerlukan sokongan berterusan agar mereka berjaya dalan kehidupan masing-masing.
  5. Setakat ini pencapaian anak-anak Permata kolej adalah yang terbaik seperti yang ditunjukkan oleh mereka dalam keputusan peperiksaan percubaan yang lepas. Adalah dijangkakan seramai 19 orang bakal mendapat keputusan semua A dan jika termasuk kumpulan "near miss" insyaAllah kita boleh mencapai sehingga 38 orang semua A dalam SPM tahun ini. Sama-samalah kita berdoa agar anak-anak Permata kita tahun ini akan berjaya mencipta kecemerlangan seperti yang kita harapkan.
Para guru memberikan restu kepada pelajar.

Yang Berhormat Dr. Abdul Rahman Junaidi, Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) yang mewakili bubapa dalam ucapannya telah berkongsi pengalaman dalam mendidik 6 orang anak beliau sendiri. Persiapan pemakanan, pengurusan masa serta pengurusan kehidupan seharian adalah penting untuk anak remaja yang sedang berusaha gigih untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan mereka masing-masing. Ibubapa perlulan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada anak mereka. Ibubapa mestilah memperuntukkan masa untuk bersama anak mereka tidak kira bagaimana sibukpun mereka. Selain itu sokongan dalam bentuk keperluan pembelajaran serta kelas tuisyen juga perlu dipertimbangkan dengan serius oleh ibubapa demi masa depan anak masing-masing.

Tuan Hallman bin Sabri, Yang DiPertua PIBG juga berkongsi pengalaman serta tip dengan ibubapa yang hadir. Beliau menyentuh perkara-perkara berikut:-
  1. Kita boleh menganggap apa yang berlaku di Kolej DPAH Abdillah pada masa ini sebagai sebuah persatuan sukan. Ibubapa merupakan pengurus pasukan, guru-guru merupakan jurulatih manakala anak-anak Permata adalah pemain. Pengurus mestilah selalu berhubung dengan jurulatih bagi memantau pencapaian pemain. Sokongan pengurus penting dalam memastikan pencapaian cemerlang pemain. Peranan jurulatih tidak kurang pentingnya kerana strategi yang bagus daripada jurulatih adalah faktor penting menjamin kejayaan pemain. Memanglah pemain juga penting kerana merekalah yang sebenarnya menterjemah strategi jurulatih serta hasrat murni pengurus pasukan. Ketiga-tiga komponen ini mestilah bekerjasama dengan baik barulah pasukan akan dapat mencapai kecemerlangan.
  2. Selain daripada itu faktor lain yang perlu dijaga termasuklah:-
    1. Persediaan mental melalui motivasi daripada ibubapa.
    2. Persediaan fizikal dan kecergasan melalui senaman yang mencukupi.
    3. Persediaan pemakanan agar lebih sihat dan seimbang.
    4. Persediaan spiritual dan emosi supaya kita semua sedar bahawa kita merancang yang terbaik tetapi pencapaian sebenar adalah atas redha dan izin Allah SWT.
  3. Beliau juga menyentuk mengenai survei bagi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik sama ada menggunakan Bahasa Inggeris ataupun Bahasa Melayu. Ibubapa perlu memberikan maklumbalas mereka supaya pihak sekolah boleh mengambil tindakan yang seterusnya berkaitan hal ini. Walaupun sekarang ini Bahasa Melayu digunakan untuk tujuan ini, namun ada ibubapa yang mencadangkan sebaliknya. Melalui survei ini kita akan mendapatkan konsensus berkaitan halatuju anak-anak kita seterusnya.
  4. Majlis graduasi akan diadakan pada 21 Oktober 2016 yang akan datang dan Majlis Makan Malam Graduasi pula akan diadakan pada 28 Oktober 2016 untuk semua pelajar tingkatan 5.
Majlis berkenaan telah diakhiri dengan jamuan makanan yang telah dibawa oleh ibubapa dan selepas itu sesi pemuafakatan di kelas masing-masing.

Anak-anak Permata memohon restu guru-guru.

2 comments:

  1. Strategi berfokus kepada kelemahan konsep individu pelajar perlu diaplikasi di saat saat akhir sebelum menjelang peperiksaan SPM. Doa saya semuga semua calon beroleh kejayaan.
    NOR HANANIE ABDULLAH.

    ReplyDelete
  2. Aamiin. Semoga doa kita semua dikabulkan oleh Allah SWT.

    ReplyDelete